BN Sarawak umum calon PRK DUN Tanjung Datu pada Rabu
Bernama
Januari 30, 2017 07:26 MYT
Januari 30, 2017 07:26 MYT
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, Rabu ini.
Setiausaha BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom pada Isnin berkata ketua menteri, yang merupakan pemangku pengerusi BN Sarawak, akan menamakan calon tersebut pada hari berkenaan.
Beliau, yang juga setiausaha agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata empat nama telah disenarai pendek dan PBB sedang mendapat maklum balas untuk menentukan calon yang paling sesuai.
Rundi berkata calon yang dipilih nanti tidak semestinya balu Tan Sri Adenan Satem, Datuk Amar Jamilah Anu atau seorang daripada dua anaknya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 4 Feb, pengundian awal pada 12 Feb manakala hari pembuangan undi pada 18 Feb.
PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Adenan, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi. Jazolkipli hanya meraih 468 undi.
Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.
Sebelum ini, Ketua Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding kerusi itu sebagai menghormati Allahyarham Adenan serta memfokus kepada pilihan raya umum akan datang.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dilaporkan berkata partinya akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan sama ada meletakkan calonnya atau sebaliknya.
-- BERNAMA