BN Sarawak: Sebarang keputusan harus ambil kira faktor pengundi - Nik Nazmi

Atiqah Ismail
Jun 11, 2018 13:17 MYT
Ketua Pemuda PH, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebarang keputusan yang bakal dilakukan BN Sarawak, ia harus mengambil kira faktor pengundi. -Foto BERNAMA
Susulan pertimbangan komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk keluar dari BN, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun menyerahkan BN Sarawak untuk membuat keputusan.
Menurut beliau, sebarang keputusan bakal dilakukan harus mengambil kira pengundi yang sudah memilih mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“Bagi saya, hak mana-mana parti dan wakil rakyat untuk menentukan hala tuju mereka sama ada memilih untuk kekal atau keluar dalam satu parti ataupun dalam gabungan tertentu.
"Keputusan itu terserah kepada kepimpinan dan individu memilih haluan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini di sini.
Mengulas kemenangan kali pertama PH sebagai Kerajaan Pusat, Nazmi berpendapat PH perlu menghormati pengundi yang sudah memilih mereka pada PRU lepas.
“Pada PRU lalu, calon kita dari Keadilan serta DAP berjaya menunjukkan prestasi baik. Malah, kita menang tiga kerusi Dayak di negeri tersebut.
“Kita juga kena akur bahawa apa pun yang terjadi, kita kena sentiasa ingat pengundi yang setia bersama dengan kita. Sekian lama DAP sudah menapak di sana diikuti Keadilan.
“Kita tidak mahu, mereka (pengundi) terasa dengan kita apabila sudah menjadi Kerajaan Pusat kita lupa mereka dan mengambil mereka yang pernah berlawan dengan kita. Malah sesetengah pemimpin BN Sarawak juga mempunyai tuduhan yang agak besar seperti rasuah,” jelasnya lagi.
Terdahulu, parti komponen BN Sarawak bercadang untuk keluar dari BN demi mempertahankan kelangsungan parti tersebut di negeri berkenaan.
Spekulasi itu mula timbul selepas BN gagal membentuk kerajaan pusat buat kali pertama pada PRU ke-14.
Namun, keputusan sama ada kekal dalam gabungan atau menjadi entiti bebas bakal ditentukan dalam sidang mesyuarat BN Sarawak pada 12 Jun ini.
#Atiqah Ismail #BN #BN Sarawak #faktor pengundi #keluar BN #ketua pemuda #Nik Nazmi #Pakatan Harapan
;