BN Sarawak menyepi selepas PRU14 - Prof Awang Azman
Malissa Sahari
Mei 11, 2018 18:09 MYT
Mei 11, 2018 18:09 MYT
Kepentingan rakyat Sarawak harus diutamakan berbanding kepentingan parti.
Itu reaksi pantas yang diberikan penganalisis politik Prof Dr Awang Azman Awang Pawi mengenai status Barisan Nasional (BN) Sarawak yang seakan menyepi selepas bertukar kerajaan.
Beliau antara lain menyifatkan situasi tersebut sebagai tempoh bertenang buat kerajaan negeri Sarawak.
Jelasnya, kerajaan negeri Sarawak tidak harus berlengah dalam membuat sebarang keputusan, kerana hal ini bakal terpalit kepada rakyat Sarawak sendiri.
"Bukan sahaja satu kajian dibuat, malah satu mesyuarat tergempar perlu diadakan apabila Sarawak jadi negeri pembangkang.
"Faktor rakyat perlu diutamakan mengatasi parti itu sendiri kerana Sarawak harus memikirkan perkara ini secara serius dan memastikan pembangunan terus berjalan dengan lancar," jelasnya.
Sementara itu, tinjaun mendapati rakyat Sarawak bersifat terbuka berhubung pembentukan kerajaan yang baharu ini.
Kakitangan awam, Ily Lyana Rosli, 32 tahun memberitahu, kerajaan baharu yang terbentuk ini bukan sahaja sejarah buat dunia, malah buat negeri Bumi Kenyalang itu sendiri.
Katanya, pembaharuan dan penambahbaikan perlu diterima mengikut logik akal.
Jelasnya, rakyat harus faham bahawa setiap pembaharuan dan perubahan tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan tergesa gesa.
"Sebagai rakyat malaysia saya mengharapkan yang terbaik untuk kerajaan baharu serta manifesto-manifesto yang telah diberikan dan dijanjikan, kami faham kerana ada beberapa hal yang mungkin mengambil masa, yang sesuai untuk dilaksanakan," katanya.
Bagaimanapun, pada masa sama kakitangan awam ini mengucapkan terima kasih kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diatas khidmat, kepimpinan dalam mentadbir urus negara ini.
Sementara itu, penyampai radio ERA Sarawak, Chopie Cakap pula berpendapat, tiada istilah Malaysia lama atau baharu, kerana Malaysia kekal sama seperti dahulu.
"Kita sebagai rakyat Sarawak atau sesiapa pun, kedaulatan Malaysia harus dijaga dan saya menerima pembaharuan tersebut selain kita harus bersatu hati membuktikan Malaysia masih sebaris dengan negara negara maju di luar," katanya.
BN Sarawak sekadar meraih 19 kerusi dengan kehilangan enam kerusi, termasuk tewas di dua kerusi masing-masing di Puncak Borneo dan Julau kepada calon Bebas.
#Barisan Nasional
#BN Sarawak
#Chopie Cakap
#Ily Lyana Rosli
#PBB
#Prof Dr Awang Azman Awang Pawi
#Sarawak