BN sahkan hantar petisyen di beberapa kerusi, cabar keputusan PRU15

Hasimi Muhamad
Januari 13, 2023 16:58 MYT
Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjawab soalan pemberita ketika meninjau Laman Media di lobi Pusat Dagangan Dunia, di sini, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022, di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengesahkan telah memfailkan petisyen di beberapa kerusi bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, perincian mengenai petisyen berkenaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
"Memang ada beberapa kawasan yang kita akan failkan. Nanti kita akan umumkan.
"Apabila kita fail (petisyen tersebut), tentutnya ada asas-asas mengapa kita memfailkan," katanya kepada pemberita ketika meninjau Laman Media di lobi Pusat Dagangan Dunia, di sini, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Petisyen berkenaan difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood pada 3 Januari lalu.
Petisyen berkenaan difailkan bagi mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang didakwa berlaku politik wang.
Pada PRU15 lalu, percubaan Tengku Razaleigh Hamzah mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12, gagal apabila beliau tewas mengejut kepada calon Pas, Datuk Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti tipis 163 undi.
Zambry yang juga Menteri Luar menambah, petisyen tersebut difailkan di kerusi yang dimenangi oleh pelbagai parti dan tidak menolak ia melibatkan kerusi yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN).
"Jawatankuasa kita akan umumkan nanti. Kita sudah kenal pasti beberapa tempat dan secara tepatnya akan diumumkan nanti," ujar beliau lagi.
Mengenai pengisytiharan harta pula, Zambry berkata, barisan Jemaah Menteri akan mematuhi arahan tersebut sekiranya diminta berbuat demikian.
#petisyen PRU15 #Barisan Nasional #BN fail petisyen #Zambry Abdul Kadir
;