BN Sabah tidak perlu gentar, malu dengan mana-mana pihak - Musa Aman
Bernama
April 16, 2017 21:16 MYT
April 16, 2017 21:16 MYT
Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah tidak perlu gentar mahu pun malu terhadap mana-mana pihak kerana parti itu mempunyai rekod pencapaian yang bagus dalam membawa pembangunan dan membela nasib rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi BN Sabah berkata kerajaan BN negeri tidak pernah gagal dalam merealisasikan janjinya kepada rakyat menerusi peruntukan besar bagi pembangunan.
"Kita (BN Sabah) berpijak di bumi nyata, kita ada rekod pencapaian, kita ada bukti dan fakta bahawa kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan dibantu Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berada di landasan yang benar," katanya semasa berucap pada pelancaran Perdana Seranta Felcra Berhad oleh Ahmad Zahid di sini, hari ini.
Pada majlis itu, yang dihadiri oleh Pengerusi Felcra Berhad Datuk Bung Mokhtar Radin yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan, Ahmad Zahid turut merasmikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kinabatangan.
Dalam pada itu, Musa meminta semua anggota BN di Sabah supaya terus bekerjasama dan mengekalkan perpaduan bagi memastikan BN beroleh kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang.
"Kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan anggota menjadi kekuatan untuk parti terus tetap kuat menerajui kerajaan," katanya.
Musa juga berharap usaha sama di antara kerajaan negeri dan Felcra Berhad akan berterusan bagi membawa lebih banyak kejayaan dalam pembangunan tanah serta modal insan di negeri ini.
Menurutnya usaha sama itu dapat memastikan tiada tanah yang terbiar di negeri ini selain membolehkannya diusahakan menerusi program atau aktiviti yang boleh membuahkan hasil, sekali gus membantu rakyat yang memerlukan.
Usaha sama itu juga boleh membantu mana-mana persatuan atau koperasi di negeri ini yang mempunyai tanah tetapi tiada modal untuk membangunkannya.
"Kita (kerajaan negeri) tidak mahu tanah kita tidak diusahakan. Tanam sawit bersama Felcra ada hasil, inilah cara kita untuk menolong rakyat," katanya.
Sementara itu, Bung Mokhtar dalam ucapannya berkata tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat perlu terus dilaksanakan demi memanfaatkan rakyat.
-- BERNAMA