BN Sabah tidak leka dengan kelemahan pembangkang - Jamawi

Irwan Muhammad Zain
April 1, 2018 11:55 MYT
Kata Jamawi, rakyat Sabah juga berbangga kerana lebih ramai pemimpin dari negeri itu dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri. - Gambar fail
Biarpun tiada kesepakatan dikalangan parti-parti pembangkang namun ia bukan alasan untuk Barisan Nasional (BN) Sabah berpeluk tubuh menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar menjelaskan jentera BN Sabah sentiasa diingatkan agar terus bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Katanya, pemuda UMNO Sabah melaksanakan banyak aktiviti untuk mendekati pengundi muda dan memberi penerangan terhadap isu-isu yang ditimbulkan oleh pemimpin pembangkang.
"Berkenaan dengan persediaan kita di Sabah, kita lihat setiap kali menjelang piliharaya banyak parti-parti baru baru muncul, di Sabah sahaja sekarang sudah ada 13 parti politik baru termasuk juga parti politik yang dijenamakan semula.
"Mereka ini tidak sepakat kerana pemimpinnya masing-masing ingin jadi ketua menteri dan ini adalah satu kelebihan kepada Barisan Nasional di Sabah.
"Tetapi kita tidak menidakkan dan kita tidak menganggap itu sebagai satu perkara yang menimbulkan keselesaan kepada kita sehingga kita kita tidak bekerja lebih kuat," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berbanding perdana menteri sebelumnya, Jamawi berkata Najib lebih banyak menjaga kepentingan Sabah berbanding pemimpin sebelumnya.
Katanya, selain membangunkan lagi Sabah dengan menyalurkan banyak peruntukan Najib lebih memberi pengiktirafan kepada pemimpin dari negeri itu dengan melantik lebih banyak menteri dan timbalan menteri dalam pentadbirannya.
"Kalau dulu, pemimpin Sabah cuma Menteri Tanah, Pembangunan dan Koperasi tetapi di zaman Najib, Sabah ada enam menteri dan tujuh timbalan menteri," katanya.
Justeru, Jamawi mengingatkan pengundi di Sabah terutama generasi muda agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang dan terus memberi sokongan kepada BN.
#Anifah Aman #Barisan Nasional #Gagasan Sejahtera #Jamawi Jaafar #Malaysia #Musa Aman #Najib Razak #Pakatan Harapan #PRU14 #Rahman Dahlan #Sabah #Salleh Said Keruak #Tenom #Warisan
;