BN Sabah sokong pengisytiharan darurat di Bugaya
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 16, 2020 18:52 MYT
Disember 16, 2020 18:52 MYT
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mengalu-alukan dan menyokong pengisytiharan darurat bagi menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan tersebut tepat dan ianya adalah langkah yang sesuai dengan keadaan yang wujud ketika ini ketika negara masih berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19.
“BN dan UMNO Sabah menjunjung kasih perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pengisytiharan proklamasi darurat di DUN Bugaya sekaligus membatal dan menunda pilihan raya kecil (PRK) DUN Bugaya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenaan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah sekali gus pilihan raya di kedua-dua kerusi itu ditangguhkan.
Menurut Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, sebelum ini BN dan UMNO Sabah telah mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon bagi PRK Bugaya sekiranya PRK di kawasan terbabit diteruskan.
Tambah Bung keputusan perisytiharan darurat ini adalah tindakan yang perlu supaya tidak memburukkan lagi krisis kesihatan dan mengelak kehilangan lebih banyak nyawa akibat pandemik COVID-19.
Pada 17 November lalu, ADUN Bugaya Manis Muka Darah meninggal dunia kerana sakit buah pinggang.
#UMNO
#Barisan Nasional
#Yang di-Pertuan Agong
#pilihan raya
#pandemik
#Parlimen
#COVID-19
#PRK Bugaya
#Bung Moktar Radin
#pilihan raya kecil
#Pengerusi BN Sabah
#pengisytiharan darurat