BN Sabah perlu mentaliti 'menang' hadapi PRU14
Bernama
Januari 18, 2018 23:44 MYT
Januari 18, 2018 23:44 MYT
Barisan Nasional (BN) Sabah perlu mempunyai mentaliti 'menang' dalam semua aspek ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang juga Pengerusi BN Negeri, berkata PRU14 perlu dianggap penting dalam memastikan BN terus menerajui kerajaan.
"Ada yang panggil PRU14 ini 'ibu segala pilihan raya' dan 'bapa segala pilihan raya'. Apa pun, ia penting kepada setiap kita.
"Kalau mahu menang, kita mesti ada cara untuk menang, mesti berfikir untuk menang dan bertindak untuk menang," katanya pada Majlis Makan Malam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama pemimpin masyarakat Sabah di sini malam ini.
Musa seterusnya mengingatkan anggota BN supaya tidak bersikap sambil lewa, sebaliknya perlu memantapkan gerak kerja, kerjasama dan toleransi antara anggota bagi memastikan parti itu meraih kemenangan.
"Kita, BN perlu turun padang untuk menerangkan dan menjelaskan kepada rakyat mengenai kemampuan BN.
"Kita juga perlu menjelaskan mengapa kita menyokong Perdana Menteri kerana banyak manfaat kita dapat daripada kepimpinannya..ini fakta," katanya.
Musa turut menjelaskan sejak Najib menjadi Perdana Menteri, banyak peruntukan diluluskan kerajaan pusat yang membantu Sabah melaksanakan pembangunan yang pesat.
Antaranya projek pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang dijangka siap akhir tahun ini, projek Pembangunan Eko Tanjung Aru dan Lebuhraya Pan Borneo.
-- BERNAMA