BN Sabah perlu fikir hala tuju dan kepimpinan jika mahu kekal relevan - Penganalisis

Irwan Muhammad Zain
Mei 12, 2019 14:53 MYT
Walapun hanya 54 peratus keluar mengundi namun DAP mampu menguasai 73 peratus undi sekaligus mengekalkan kerusi parlimen Sandakan. - Gambar fail
Barisan Nasional (BN) perlu memikirkan dari sudut kepimpinan dan hala tuju yang akan dicorakkan jika mahu kekal relevan di Sabah.
Pensyarah Ilmu Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah, Dr Zaini Othman berpendapat, BN Sabah yang kini cuma tinggal UMNO perlu melihat suasana politik yang berbeza tingkah laku pengundinya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hujah Dr Zaini, jika kepimpinan yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas dikekalkan, BN Sabah sukar untuk kekal relevan.
"Jadi sama ada mereka boleh kekal atau sebaliknya itu pada pandangan saya bagi sebuah organisasi dia sangat bergantung kepada kepimpinan yang ada.
"BN Sabah buat masa ini dia cuma ada UMNO saja, komponen-komponen lain sudah keluar atau membentuk arah hala tuju yang baharu.
"Jadi UMNO Sabah perlu fikir dari sudut kepimpinan dan hala tuju yang mereka akan corakkan dalam konteks Sabah serta UMNO Sabah perlu berbincang dengan UMNO Pusat," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, BN Sabah menggarap apakah punca mengapa mereka tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada Sabtu.
Jelas beliau BN Sabah perlu meneliti adakah bentuk kepimpinan yang dimahukan oleh rakyat Sabah sudah wujud dalam gabungan tersebut.
Selain itu, BN Sabah juga perlu melihat isu-isu yang perlu mereka dekati untuk menawan hati pengundi di negeri di bawah bayu itu.
Barisan Nasional perlu memastikan bahawa isu-isu federal, isu-isu kerajaan negeri dan isu-isu tempatan itu wujud dalam hubugan yang bersifat resiprokal agar ia dapat ditangani oleh kepimpinan BN di Sabah itu," katanya kepada Astro AWANI.
Dr Sivamurugan juga melihat keputusan ini memberikan motivasi kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan gabungan yang membentuk kerajaan di Sabah selepas tiga kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK di Semenanjung.
Pada PRK Sabah yang diadakan pada Sabtu, Calon DAP Vivian Wong mempertahankan kerusi parlimen Sandakan dengan 11,521 majoriti undi mengalahkan calon PBS Linda Tsen dan tiga calon bebas lain.
Walapun hanya 54 peratus keluar mengundi namun DAP mampu menguasai 73 peratus undi sekaligus mengekalkan kerusi parlimen Sandakan.
#Barisan Nasional #DAP #Dr Sivamurugan Pandian #Dr Zaini Othman #GBS #Sabah #Sandakan #UMNO #Warisan
;