BN Sabah akan bertanding secara solo jika tiada persefahaman dengan GRS

Petrus Bernard
September 4, 2022 22:47 MYT
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yakub Khan berkata rundingan berkaitan kerusi Parlimen yang akan ditandingi dalam PRU15 sudah dijalankan dan belum dimuktamatkan. - Gambar fail/BERNAMA
TAWAU: Barisan nasional (BN) Sabah akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya tidak mencapai persefahaman dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yakub Khan berkata rundingan berkaitan kerusi Parlimen yang akan ditandingi dalam PRU15 sudah dijalankan dan belum dimuktamatkan.
Tegasnya, sekiranya BN dan GRS gagal mencapai kata putus, BN Sabah akan bergerak secara solo.
“Di peringkat Sabah memang kita ada mengadakan perundingan dengan GRS namun kita belum mendapat kata putus, tapi insya-Allah dalam masa terdekat kita akan perhalusi antara kedua-dua pihak untuk pembahagian kerusi.
“Kalau kita mendapat persetujuan yang sama rata, kalau kita ada persefahaman, insya-Allah kita akan kerjasama, tapi kalau tidak ada persefahaman, BN bersedia untuk bertanding bersendirian,” ujarnya.
Menurut Yakub, semua jentera BN sudah bersedia dan dimantapkan untuk menghadapi PRU15 dan yakin calon yang akan diletakkan untuk bertanding di bawah tiket BN akan mencapai kemenangan.
“Semua jentera di peringkat akar umbi sudah bersiap sedia dan sudah dimantapkan lagi demi untuk kita menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.
“Saya yakin sama ada di Tawau mahupun di Kalabakan, andai kita meletakkan calon dalam pilihan raya ini, kemenangan akan berpihak kepada BN… insya-Allah,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan himpunan gelombang biru yang dihadiri 7,000 masyarakat Tawau dan Kalabakan di Padang Perbandaran Tawau pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahril Sufian Hamdan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung dan barisan pemimpin UMNO Sabah.
#BN Sabah #Solo #PRU15 #GRS #Barisan Nasional #Gabungan Rakyat Sabah #Yakub Khan
;