BN, PH tubuh kerajaan negeri Pahang selari Persekutuan - MB
Astro Awani
November 28, 2022 14:56 MYT
November 28, 2022 14:56 MYT
PEKAN: Pembentukan kerajaan Pahang melalui gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah selari dengan kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat Persekutuan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan, keputusan itu bagi memastikan pentadbiran serta segala perancangan yang dibuat demi pembangunan negeri dapat diteruskan dan berjalan dengan lancar.
Dalam masa sama, Wan Rosdy juga mahu memastikan segala sentimen politik dan perbezaan ideologi diketepikan dan satu-satu perkara yang menjadi keutamaan adalah kestabilan dan kemakmuran negeri.
"Barisan Nasional Pahang percaya bahawa pembentukan kerajaan negeri yang baharu ini perlu turut selari dengan kerajaan perpaduan yang dibentuk diperingkat Persekutuan ini bagi memastikan pentadbiran serta segala perancangan yang dibuat demi pembangunan negeri Pahang dapat diteruskan dan berjalan dengan lancer.
“Berdasarkan pertimbangan senario yang diperhalusi dengan penuh berlapang dada akhirnya Barisan Nasional dan Pakatan Harapan telah mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan negeri secara bersama," kata beliau.
Wan Rosdy juga berharap blok Perikatan Nasional (PN) akan menjadi pembangkang yang tegas, objektif dan mampu berfungsi sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BN memperoleh 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara PH memenangi lapan kerusi dan PN (17 kerusi).
Bagaimanapun, satu kerusi DUN N.042 Tioman masih belum diketahui berikutan pengundian ditangguh sehingga 7 Disember ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada puku 2.30 pagi hari pengundian 19 November lepas akibat serangan jantung.