BN perlu 'wajah baharu', perkukuh kepercayaan rakyat - Ahmad Zahid
Hilmi Malik
Jun 1, 2022 19:48 MYT
Jun 1, 2022 19:48 MYT
KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) perlu mewajahkan semula parti itu dalam usaha untuk membina kembali kepercayaan dalam kalangan rakyat.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, parti itu sememangnya masih memperoleh kepercayaan, bagaimanapun ia memerlukan ‘wajah baru’ untuk kembali memegang tampuk pimpinan negara.
Strategi itu juga katanya dilihat berkesan menerusi beberapa kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Rakyat hakikatnya sudah cemuh dan bosan dengan hipokrasi politiking yang menyaksikan negara menjadi tidak stabil, kehidupan mereka makin sengsara. Malah, pencapaian ekonomi yang makin jauh ketinggalan berbanding dengan banyak negara-negara tetangga. Rakyat mahu BN kembali namun dengan wajah yang baharu.
“Ini dapat disaksikan dengan kepercayaan diberikan rakyat melalui siri-siri kemenangan di tujuh Pilihan Raya Kecil yang bermula di Cameron Highlands, hinggalah apabila kita berjaya menjadi sebahagian kerajaan negeri Sabah sebagai parti individu terbesar kemudian menang dengan majoriti besar di Pilihan Raya Negeri Melaka serta menang dua pertiga di PRN Johor,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid beranggapan, hanya acuan BN yang mampu menjamin kestabilan negara setelah menilai beberapa pimpinan kerajaan sebelum ini.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, rakyat juga sudah bijak menilai terutamanya mengenai soal kestabilan yang sebelum ini jelas menyaksikan pimpinan kerajaan yang caca-marba.
Bagaimanapun BN katanya tidak sepatutnya leka sebaliknya perlu membuat persiapan dan anjakan paradigma bagi berdepan PRU15 yang dikatakan boleh terlaksana pada bila-bila masa sahaja.