BN perlu hati-hati dengan mereka yang kecewa

Firdaus Azil
Mac 26, 2018 18:07 MYT
Pucuk pimpinan sudah mengambil masa selama empat tahun untuk menguji kemampuan calon-calon sedia ada ataupun yang baharu untuk menilai prestasi mereka. - Gambar hiasan
Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional perlu berhati-hati dengan kemungkinan akan disabotaj oleh pihak-pihak tertentu yang gagal mendapat tempat untuk dicalonkan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Penaung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bridged Negaraku, yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, ada kemungkinan golongan itu akan bertindak di luar jangkaan hingga boleh menyebabkan ‘krisis’ yang boleh menggugat BN sewaktu PRU14 nanti.
“Sebagai seorang bekas pemimpin kerdil seketika dahulu saya sudah mula melihat adanya adu domba ini sudahpun mula berlaku di bahagian-bahagian dan ada pula yang meracuni pemikiran pemimpin-pemimpin serta ahli parti.
“Tuduhan dilemparkan kepada ketua-ketua bahagian kononnya mereka tidak mencadangkan nama-nama mereka yang lain sedangkan ia tidak berlaku sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, beliau harap golongan itu sedar bahawa pucuk pimpinan sudah mengambil masa selama empat tahun untuk menguji kemampuan calon-calon sedia ada ataupun yang baharu untuk menilai prestasi mereka.
“Kepada semua ahli dan pemimpin saya amat yakin bahawa kamu semua sudah diberi peluang yang cukup untuk membuktikan bahawa kamu adalah yang terbaik dalam kalangan yang baik di peringkat kawasan masing-masing.
“Bagi yang beragama Islam pastinya kamu perlu redha dengan ketentuan Allah SWTdalam menentukan darjat seseorang. Begitu juga kemampuan parti yang lain semestinya mereka yang ikhlas dan lebih baik akan dipilih untuk mewakili parti di kawasan masing-masing,” katanya lagi.
Zakaria berkata, Briged Negaraku sebagai sebuah NGO pastinya mahukan kerajaan yang mampu menyediakan keperluan rakyatnya dengan baik, sentiasa mengambil berat masalah rakyat, mengekalkan perpaduan dan keselamatan rakyat yang terjamin.
“Briged Negaraku akan terus melontarkan pandangan-pandangan yang perlu bagi membantu BN agar terus berada di landasan yang baik dalam terus diberi mandat memerintah negara,” Zakaria berkata.
#Barisan Nasional #Briged Negaraku #kerajaan #Malaysia Memilih #Pemuda UMNO #pilihan raya umum #PRU14 #sabotaj #Zakaria Dullah
;