BN Perak tidak gentar dengan mainan politik Dr Mahathir
Bernama
Oktober 9, 2016 17:31 MYT
Oktober 9, 2016 17:31 MYT
Barisan Nasional (BN) Perak sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi mempertahankan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pengerusinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Malah, katanya, BN negeri telah membuat persiapan awal sebaik sahaja selesai pilihan raya umum lepas pada 2013.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak mengambil mudah kenyataan kononnya pembangkang termasuk parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan merampas kerajaan negeri pimpinan BN pada PRU14 akan datang.
"Berdasarkan pengalaman kami di Perak, kita telah bekerja dari dulu lagi kerana itu memang pendirian dan pendekatan BN negeri," kata Menteri Besar itu kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Sekolah Agama Rakyat Ijtihadiah, Kampung Bahagia, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa pembangkang boleh mengambil alih kerajaan negeri Perak dan Terengganu melalui tindakan 'lompat' parti oleh wakil rakyat di negeri berkenaan.
Menurutnya, kenyataan Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PPBM, itu hanya sekadar mainan politik pembangkang. - BERNAMA