BN Pahang minta beri kemenangan percuma di PRK DUN Chini

Fauzi Suhaimi
Jun 6, 2020 12:26 MYT
Wan Rosdy berkata, keadaan semasa tidak sesuai untuk melaksanakan proses pilihan raya berikutan pandemik COVID-19. - Gambar BERNAMA
Barisan Nasional (BN) Pahang mencadangkan supaya kemenangan percuma diberi kepada calon parti itu dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, meminta kerjasama parti politik lain serta calon bebas tidak bertanding, sebaliknya memberi laluan kepada BN menang tanpa bertanding.
Katanya, cadangan itu dibuat kerana keadaan semasa berikutan pandemik COVID-19 tidak mengizinkan proses pilihan raya dilaksanakan seperti biasa.
Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun tidak bermakna BN bersikap riak atau takbur, tetapi sekadar menyesuaikan diri dengan realiti semasa.
"Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak pandemik COVID-19 yang menggerunkan.
"Cara ini juga dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti (berhimpun) menjelang dan semasa PRK tersebut, yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.
"Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan supaya tidak bertanding," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.
Allahyarham adalah calon BN yang menjadi ADUN Chini dalam kawasan Parlimen Pekan selama empat penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 dan mempertahankannya pada PRU ke-14 dengan memperoleh 10,027 undi.
Pada pertembungan tiga penjuru itu, Allahyarham menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnin (1,065).
Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, saranan itu juga selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).
"Saranan itu urut disokong PKR selepas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan partinya tidak akan meletakkan calon bertanding pada PRK DUN Chini atas alasan serupa.
"Dengan tidak mengadakan PRK ini juga boleh menjimatkan kos yang bakal ditanggung Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) iaitu kira-kira RM4.3 juta, malah (kos) oleh calon-calon serta parti-parti yang bertanding," katanya.
BACA: PRK DUN Chini pada 4 Julai - Pengerusi SPR
BACA: Chini Memilih: PKR tidak letak calon
BACA: Tiada lagi perhimpunan beramai-ramai, perarakan di PRK Dun Chini - Annuar Musa
#Barisan Nasional #calon #koronavirus #Mahathir Mohamad #menteri #Pahang #pandemik #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #PKR #politik #PRU #Suruhanjaya Pilihan Raya
;