BN nyata sokongan kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Hajiji
Ridauddin Daud
Februari 12, 2023 16:15 MYT
Februari 12, 2023 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pendirian itu sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia juga telah dibentuk untuk menyelaras semua parti yang berada dalam kerajaan.
"Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah.
"Barisan Nasional Sabah dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan.
"Ia sekali gus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, BN menamakan Datuk Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah.
Astro AWANI pada 13 Mac lepas melaporkan, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan gabungan itu kini secara rasminya berdaftar sebagai sebuah badan politik.
Jelas Hajiji pihaknya sudah menerima sijil kelulusan pendaftaran bagi gabungan itu daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada Jumaat lalu.
Perkembangan mutakhir itu sedikit sebanyak meredakan suhu politik di Sabah yang sedikit panas pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).