BN namakan Amizar sebagai calon di PRK DUN Pelangai

Astro Awani
September 20, 2023 22:32 MYT
Amizar sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis pengumuman calon BN di Dewan Majlis Daerah Bentong, sebentar tadi.
Amizar sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, manakala 7 Okt sebagai hari pengundian.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang, Isa Ahmad.
#PRK Pelangai #Amizar Abu Adam #Barisan Nasional #Pakatan Harapan
;