BN mesti dikembalikan di pentas politik, pentadbiran Sabah - PBRS
Bernama
Disember 7, 2024 20:00 MYT
Disember 7, 2024 20:00 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mesti dikembalikan semula ke pentas utama politik dan pentadbiran Sabah menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, kata Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata ini memandangkan pihaknya yakin dan percaya formula serta struktur BN adalah terbaik untuk Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum, bangsa dan agama, dengan sumbangan gabungan itu terhadap pembangunan Sabah tidak dapat dinafikan sejak dahulu lagi.
"Kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota baru-baru ini boleh dijadikan batu loncatan, bagi menyuntik semangat baharu sebagai persediaan jentera parti untuk menghadapi PRN.
"Pertandingan selepas ini ialah di Sabah dan kita akan bertemu lagi di Sabah, kita mesti bersatu, kita mesti berpakat dengan rakan komponen lain dan dengan semangat perpaduan dan kerjasama baik kita mesti kembalikan BN ke atas pentas utama politik dan pentadbiran di Sabah," katanya.
Arthur berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Tahun BN di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda ke atas rayuan kumpulan Sulu misalnya, merupakan hasil kerja keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said daripada BN sendiri.
"Selain itu BN telah berjaya untuk mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak selaras dalam Perlembagaan Malaysia 1963, menerusi kelulusan majoriti dua pertiga Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2021," katanya.
Arthur berkata PBRS, yang menyambut ulang tahun ke-30 tahun ini adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang menjadi sahabat sejati BN di kala susah dan senang.
"Maksudnya, sudah 30 tahun PBRS bersama BN sejak PBRS ditubuhkan pada tahun 1994. PBRS tidak pernah berganjak walau seinci, malah tetap berdiri teguh bersama mempertahankan BN. Saya ingin menegaskan bahawa kesetiaan tidak berbelah bahagi PBRS kepada BN tetap akan diteruskan dan akan diperjuangkan. PBRS akan kekal bersama BN," katanya.
Sambutan bertemakan “Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa” yang bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang tadi, menghimpunkan kira-kira 5,000 hadirin dari seluruh negara termasuk pemimpin tertinggi parti, ahli komponen dan penyokong parti.
Gabungan BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS. BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974 oleh Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
-- BERNAMA