BN menang majoriti besar tanda rakyat ingati sumbangan Tok Nan
Bernama
Februari 18, 2017 21:21 MYT
Februari 18, 2017 21:21 MYT
Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu bermakna rakyat di kawasan ini masih mengingati dan menyayangi bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, kata Setiausaha BN Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Rundi yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata majoriti besar yang diperoleh Jamilah juga membuktikan Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg diterima dan dihormati rakyat Sarawak.
Ketika ditanya sama ada janji yang dibuat oleh pemimpin BN semasa kempen PRK yang berlangsung dari 4 hingga 17 Feb antara faktor kemenangan itu, Rundi yang merupakan Menteri Kemudahan Awam Sarawak berkata rakyat memberi kepercayaan terhadap kepimpinan BN berdasarkan pencapaian dan janji-janji sebelum ini.
"Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas semasa berkempen, saya telah jangkakan beliau akan menang dengan majoriti besar, walaupun kehadirannya diwakili oleh anak lelakinya Azizul (Annuar Satem) kerana beliau mempunyai hubungan yang kuat dengan pemimpin akar umbi serta rakyat Lundu selama ini," kata Rundi kepada Bernama.
Beliau berkata kepimpinan BN dan PBB khususnya telah memilih calon yang tepat bagi pilihan raya kecil DUN Tanjong Datu.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Abdullah Saidol berkata majoriti yang meningkat yang diperoleh Jamilah adalah mesej yang jelas rakyat menerima kepimpinan Abang Johari.
Katanya, keputusan yang baik dalam PRK ini adalah sebagai tanda penerimaan ikhlas pengundi di kawasan DUN Tanjong Datu terhadap calon BN.
"Ia juga sebagai tanda terima kasih masyarakat di Tanjong Datu terhadap jasa Allahyarham Tan Sri Adenan Satem," katanya.
Menurut Abdullah, yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, seluruh jentera PRK BN yang juga melibatkan secara aktif rakan-rakan komponen parti telah bekerjasama dalam kempen PRK dan bergerak dengan cara yang sistematik serta berkesan.
"Calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit gagal meraih undi popular kerana mereka kurang memahami sentimen masyarakat di sini dan mereka juga membawa mesej kempen berburuk sangka serta isu yang membawa perpecahan," katanya.
PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
-- BERNAMA
#Allahyarham Tan Sri Adenan Satem
#Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom
#Jamilah
#PRK
#SPR
#Tanjong Datu