BN Melaka perlu ambil peluang berikutan perpecahan DAP negeri - Idris
Astro Awani
Mac 20, 2017 10:47 MYT
Mac 20, 2017 10:47 MYT
Pemimpin Barisan Nasional (BN) Melaka digesa mengambil kesempatan rentetan perpecahan yang berlaku dalam parti DAP di negeri itu berikutan beberapa pemimpin kanan dan akar umbi parti pembangkang itu mengumumkan keluar parti baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Idris Haron berkata, peluang itu perlu digarap pemimpin-pemimpin BN untuk menawan hati rakyat agar terus menyokong BN khususnya menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.
Beliau berkata, tindakan keluar parti lebih 182 ahli akar umbi DAP Melaka baru-baru ini dianggap sebagai suatu peluang keemasan kepada BN negeri.
“Sebenarnya kita tak boleh alpa. Saya dah pesan Exco, yang berlaku dalam DAP ini adalah sesuatu yang kita (BN) perlu ambil peluang.
“Kalau tak ambil peluang daripada apa yang berlaku, ia tak ada manfaat pada kita (BN). Maka, apabila telah berlaku perpecahan, kita perlu eksploitasi (situasi) secara porsitif untuk jadikan ia kekutan pada parti kita (BN),” ujar Idris.
Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin BN diingatkan untuk tidak terlalu ghairah dan berasa selesa dengan isu itu sehingga terlupa akan tanggungjawab untuk terus memperkukuh parti.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Parlimen Jasin di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Lipat Kajang, Jasin pada malam Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, pemimpin tertinggi BN negeri serta lebih 2,000 pemimpin akar umbi BN Parlimen Jasin.
Dalam pada itu, Idris berkata, BN negeri optimis untuk merebut semula kerusi di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen daripada tangan pembangkang.
Lantaran itu katanya, usaha itu hanya akan dapat dijayakan dengan kerjasama padu daripada semua pemimpin BN negeri khususnya diperingkat akar umbi.
Pada 12 Februari lalu, empat pemimpin DAP Melaka yang terdiri daripada ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan tiga wakil rakyat Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) telah bersama-sama mengumumkan peletakan jawatan mereka sebagai ahli DAP.
DAP Melaka sekali lagi berdepan cabaran apabila 182 anggota akar umbinya yang diketuai tujuh bekas anggota jawatankuasa DAP negeri mengumumkan keluar parti, pada 12 Mac lalu.