BN Melaka nafi ada calon tolak watikah pelantikan

Israr Khalid
April 24, 2018 16:00 MYT
Dari kiri, Koh, Idris, Lee dan ADUN Kelebang, Lim Ban Hong dalam satu majlis ringkas penyampaian watikah di pejabat Ketua Menteri Melaka hari ini. Astro AWANI/ISRAR KHALID
Datuk Seri Idris Haron menyangkal dakwaan sebuah akhbar tempatan mengenai dua calon Barisan Nasional (BN) yang dikatakan menolak watikah perlantikan mewakili MCA untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas diumumkan semalam.
Beliau mengakui terkejut dengan dakwaan akhbar bahasa Cina itu dan menjelaskan bahawa Datuk Koh Nai Kwong yang juga penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah dan Lee Chong Leng tidak dapat hadir menerima watikah semalam kerana ada urusan lain.
Katanya, Koh yang merupakan calon bagi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Baru dan Lee, calon Bandar Hilir, tidak hadir dengan bersebab kerana mendahulukan urusan yang lebih penting, bukannya melarikan diri atau menunjukkan protes.
“Ada ayat Surah Al-Hujarat yang maksudnya ‘wahai orang beriman, kalau ada orang fasik suka menipu berpanjangan membawa satu berita, selidik dulu.'
"Memang itu kerja kita, siasat, selidik, analisa kerja itu, sebelum Allah menimpakan kerosakan ke atas satu kaum, disebabkan kejahilan kamu, dan kamu akan menyesal atas kejahilan kamu.
“Kita tak ada apa-apa, kita okay sahaja di sini,” tegas Idris, Pengerusi BN Melaka, pada satu sidang media di Seri Bendahara di sini hari ini.
Terdahulu, Koh dan Lee telah hadir untuk menerima watikah perlantikan daripada Idris dalam satu majlis ringkas di pejabat Ketua Menteri itu.
Tegas Idris lagi, solidariti dalam kalangan calon MCA adalah bukti ketara barisan itu komited untuk memulakan tugas masing-masing selepas menerima watikah untuk meyakinkan rakyat supaya memilih BN.
Sementara itu, Koh ketika ditemui menjelaskan berita palsu itu adalah spekulasi yang mungkin dibuat dengan melihat profil beliau sebagai wakil rakyat Alor Gajah sebelum ini.
Beliau mengakui sebenarnya berharap untuk terus kekal memimpin bahagian itu selepas merasakan berjaya melunaskan tanggungjawabnya pada penggal lau, namun akur dengan keputusan pucuk pimpinan dengan hati terbuka.
“Saya perlu pulangkan keputusan kepada ahli-ahli MCA Bahagian kerana kekuatan kita selaku Ahli Parlimen, ADUN atau Ketua Bahagian kawasan sendiri, kita ada hampir 38 cawangan MCA di Bahagian.
“Ada mesyuarat khas menyeru pada saya untuk sama-sama pertahankan DUN Machap Jaya dan saya pun terimalah permintaan itu,” jelasnya.
Pada PRU13, Koh menewaskan Damian Yeo Shen Li dari DAP dengan majoriti 11,597 undi untuk menduduki kerusi Parlimen P135 Alor Gajah, dan dipilih untuk cuba meneruskan legasi pimpinan Lai Meng Chong (BN) di DUN N.08 Machap Jaya.
Lee pula turut sama menafikan dakwaan kononnya dia meninggalkan majlis semalam kerana ada urusan lain yang lebih perlu disegerakan.
“Hari ini saya sudah datang sini. Bawa bertenang sahaja. Pada masa sama saya berbangga, terima kasih kepada kerajaan dan parti kerana memberi peluang untuk saya mewakili rakyat,” katanya.
Muka baharu ditampilkan BN Melaka ini akan berentap dengan Pengerusi DAP Melaka, juga penyandang kerusi DUN N.22 Bandar Hilir, Tey Kok Kiew, yang sudah dua penggal memimpin DUN tersebut.
#ayer keroh #Banda Hilir #Barisan Nasional #BN Melaka #Calon BN Melaka #DAP #Datuk Koh Nai Kwong #idris haron #Lee Chong Leng #Machap Jaya #MalaysiaMemilih #Melaka #Tey Kok Kiew
;