BN mampu menang semua kerusi di parlimen Kota Belud
Bernama
Julai 1, 2017 06:30 MYT
Julai 1, 2017 06:30 MYT
Ketua Wanita UMNO Kota Belud Eyung Latun yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi Parlimen Kota Belud serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen berkenaan - Usukan dan Tampasuk - pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Beliau berkata berdasarkan pencapaian terbaik BN yang dipimpin UMNO di parlimen berkenaan, pihaknya juga yakin mampu merampas kembali kerusi DUN Kadamaian yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lepas.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremmy Malajad kini menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong BN, selepas keluar daripada PKR pada November 2013.
"Apabila melihat kepimpinan semua wakil rakyat di ketiga-tiga DUN berkenaan, saya yakin UMNO dan BN akan menang pada pilihan raya umum akan datang. Kesemua mereka (wakil rakyat) sentiasa turun padang tanpa mengira masa.
"Inilah sikap pemimpin di Kota Belud, mereka sentiasa berjumpa rakyat demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat dan pemimpin. Mereka bukan pemimpin yang duduk di rumah dan hanya mendengar khabar berita," kata Eyung kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang juga ADUN Usukan dan Setiausaha Politik kepada Salleh, Datuk Baharul Sawi.
Eyung berkata Wanita UMNO Kota Belud akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan UMNO dan BN di kawasan berkenaan.
"Kami bersedia menghadapi pilihan raya akan datang selepas sahaja pilihan raya lepas. Kami melaksanakan pelbagai program seperti ziarah kasih di kesemua DUN di Parlimen Kota Belud dan kami yakin tiada siapa pun yang mampu menggugat kekuatan UMNO dan BN di kawasan ini," katanya.
Pada masa sama, Eyung memuji usaha Salleh yang tidak pernah jemu bertemu dan bermesra dengan rakyat di kawasan parlimen berkenaan.
"Sejak dahulu lagi, beliau (Salleh) sentiasa turun padang berjumpa rakyat. Bukan pada musim Aidilfitri sahaja, malah beliau sentiasa menghadiri semua sambutan perayaan yang diadakan termasuk Tahun Baharu Cina, Krismas, dan Kaamatan," katanya.
Terdahulu, sebelum menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Eyung, Salleh meluangkan masa berkunjung ke beberapa majlis rumah terbuka di daerah berkenaan, termasuk rumah terbuka Aidilfitri keluarga Datu Rambangan di Kampung Bua Pintasan. - BERNAMA