BN mampu bergerak solo di Sabah - Najib
Astro Awani
Julai 1, 2022 05:30 MYT
Julai 1, 2022 05:30 MYT
KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak yakin bahawa gabungan itu mampu bergerak sendiri di Sabah.
Beliau mendakwa, penurunan populariti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan memberi isyarat kepada BN bahawa ia mempunyai peluang cerah untuk menguasai majoriti kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“Nampaknya Bersatu sedang menurun sebab mereka tak banyak sebut Bersatu sekarang ini. Mereka jual (nama) GRS. Dan Pas di Semenanjung pun akan gunakan logo sendiri, bukan gunakan Perikatan Nasional.
“Jadi, nampaknya secara individu, parti-parti yang lain itu tidak ada, kekuatan mereka sudah banyak menurun, termasuk Warisan juga,” kata Ahli Parlimen Pekan itu ketika ditemui pada majlis bersama kumpulan aktivis media sosial Sabah di sini semalam.
Bagaimanapun, tambah Najib, BN perlu berusaha menunjukkan kepada rakyat Sabah bahawa gabungan itu turut dimiliki oleh rakyat negeri di bawah bayu itu.
“Dalam konteks Sabah ini, kita kena tunjukkan bahawa BN sebenarnya bukanlah parti yang dari Semenanjung.
“BN adalah parti yang dikuasai oleh orang Sabah dalam satu gagasan ataupun satu payung yang lebih besar.
“Jadi, apabila kita bawa gagasan dan payung lebih besar, kita ada kekuatan yang lebih. Itu yang mesti kita terapkan pada orang Sabah,” tegasnya.
Najib yang tiba di Sabah pada Jumaat akan menghadiri Konvensyen Barisan Nasional Sabah di ITCC Penampang hari ini, yang menghimpunkan seramai 5,000 ahli gabungan parti itu.