BN mahu jadi 'underdog' di dua PRK - Ahmad Zahid
Wan Syamsul Amly
Mei 19, 2016 18:10 MYT
Mei 19, 2016 18:10 MYT
Barisan Nasional (BN) mahu bergerak sebagai 'underdog' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekali gus signal perbezaan corak kempen yang akan dibuat di kedua-dua PRK itu kelak.
"BN akan bergerak sebagai underdog walaupun kita menang sebelum ini, namun kerana kemenangan di Sungai Besar hanya 399 dan Kuala Kangsar pula 1082, maka saya ingatkan supaya semua melipatgandakan usaha, bekerja keras dan bukan kempen biasa yang harus dilakukan," katanya.
Dr Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Rapat Alumni Nusantara dan Pelancaran Jaringan Alumni Nusantara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia, Tan Sri Rais Yatim dan mantan Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Prof. Dr. Yusril Ihza Mahendra.
Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar masing-masing berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan hari penamaan calon pada 5 Jun, pengundian awal 14 Jun dan hari mengundi pada 18 Jun.
#Barisan Nasional
#Kuala Kangsar
#nahas helikopter
#Noriah Kasnon
#PAS
#PRK
#Sungai Besar
#Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad
#Zahid Hamidi