BN letak calon Orang Asli hanya lakonan - Fuziah

Arfa Yunus
Januari 17, 2019 17:38 MYT
FUZIAH: Sampai sekarang rumah dan tanah adat Orang Asli diceroboh. - Foto BERNAMA
Pakatan Harapan (PH) lebih memahami kesengsaraan Orang Asli berbanding Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.
Ahli Parlimen Kuantan itu mempertikaikan sikap BN yang dikatakan bersandiwara dengan meletakkan calon Orang Asli bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Md Nor.
"BN letak calon Orang Asli kononnya untuk nak memperjuangkan Orang Asli. Tetapi mereka memerintah negara selama 60 tahun, apa yang BN ada buat untuk Orang Asli?
"Sampai sekarang Orang Asli miskin. Sampai sekarang rumah dan tanah adat Orang Asli diceroboh. Sampai sekarang hidup Orang Asli masih susah.
"Apa yang BN buat selama 60 tahun?" soalnya ketika memberi ucapan semasa program Dialog dengan Ketua-Ketua Batin Pos Betau di sini pada Khamis.
Turut hadir adalah presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta Ahli Dewan Negara Bob Manolan.
PRK Cameron Highlands yang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru itu akan diadakan pada 26 Januari, manakala Hari Pengundian Awal pada 23 Januari.
Mewakili Pakatan Harapan adalah M. Manogaran, BN diwakili Ramli Md Noor dan dua calon Bebas lain adalah Wong Seng Yee dan Sallehudin Talib.
#Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #BN #Cameron Highlands #Fuziah Salleh #Lim Guan Eng #Orang Asli #Pakatan Harapan #PH #pilihan raya kecil #PRK Cameron Highlands
;