BN lancar 14 aku janji 'Demi Permatang Pauh', sasar bidang pendidikan
Astro Awani
Mei 2, 2018 05:22 MYT
Mei 2, 2018 05:22 MYT
Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh melancarkan manifesto yang menggariskan 14 aku janji sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung pada 9 Mei ini.
Manifesto yang bertemakan 'Demi Permatang Pauh' itu akan dilaksanakan sekiranya BN berjaya mencapai kemenangan di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang disifatkan calon BN Datuk Mohd Zaidi Mohd Said sebagai 'kerusi panas'.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, manifesto itu memberi fokus kepada beberapa terutama dari aspek pendidikan dan pembangunan insan.
Bekas guru itu berkata, menjadi hasrat BN kawasan itu menjenamakan semula bumi Permatang Pauh agar menjadi lebih baik di masa depan.
Antara aku janji itu termasuk bagi memastikan sekolah agama asrama penuh dibina di Permatang Pauh, membina kelas digital (Abad 21) di semua bilik darjah di sekolah di Parlimen berkenaan dan memodenkan 28 buah sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seluruh Permatang Pauh dengan kemudahan Abad 21.
Selain itu, pembinaan rumah mampu milik di kawasan Penanti juga akan menjadi fokus dalam aku janji tersebut.
Katanya, aku janji yang dibuatnya itu bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak sebaliknya ia adalah janji yang mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pelancaran dibuat Mohd Zaidi di hadapan lebih kira-kira 1,000 penyokong BN di Wisma Transformasi Umno Permatang Pauh malam tadi.
Hadir sama, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Suhaimi Sabudin (Penanti) dan Anuar Faisal Yahaya (Permatang Pasir.)
Pada PRU14 ini, Mohd Zaidi akan berdepan Nurul Izzah Anwar dari PKR dan Afnan Hamimi Taib Azamudeen (Pas).
DUN Penanti turut akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Suhaimi, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (Pas) dan Dr Norlela Ariffin (PKR).
Begitu juga DUN Permatang Pasir antara Anuar Faisal, Muhammad Fauzi Yusoff (Pas) dan Faiz Fadzil (PKR).
#Aku Janji
#Barisan Nasional
#calon
#MalaysiaMemilih
#Manifesto
#Mohd Zaidi Mohd Said
#Permatang Pauh
#PRU14