BN kekal kerusi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi
Astro Awani
Jun 18, 2016 22:07 MYT
Jun 18, 2016 22:07 MYT
Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengekalkan kerusi P.093 Sungai Besar pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu hari ini.
Calonnya, Budiman Mohd Zohdi yang merupakan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, telah menewaskan dua calon lain dengan majoriti 9,191 meraih jumlah undi sebanyak 16,800 undi.
Beliau yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menewaskan ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman, dan Azhar Abdul Shukur dari parti Amanah.
PAS memperolehi 6,902 undi sementara Amanah memperolehi 7,609 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman itu sekitar jam 9.45 malam Sabtu.
Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus PRK Sungai Besar, Mohd Khairudin Md Som Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sri Bernam, di sini.
Sebanyak 28 pusat mengundi telah dibuka sejak 8 pagi hingga 5 petang tadi bagi proses pembuangan undi.
PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon-calon tersebut.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Allahyarham Noriah dari BN menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi.