BN kekal kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969 undi
Astro Awani
Jun 18, 2016 21:58 MYT
Jun 18, 2016 21:58 MYT
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi P.067 Kuala Kangsar pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu hari ini.
Calonnya, Datin Mastura Yazid yang merupakan isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, telah menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969, meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi.
Beliau menewaskan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PAS mendapat 5,684 undi, Amanah mendapat 4,883 undi manakala calon Bebas mendapat 54 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman itu di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.
Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus PRK Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria sekitar jam 9.45 malam.
Sebanyak 23 pusat mengundi telah dibuka sejak 8 pagi hingga 5 petang tadi bagi proses pembuangan undi.
PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon-calon tersebut.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas, Datuk Kamalia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi.