BN Johor tumpu usaha pertahan, rampas kerusi dimenangi pembangkang

Bernama
Julai 29, 2017 11:40 MYT
MD JAIS: Kalau kita dapat menggemblengkan lagi gerak kerja ini, kita bukan sahaja dapat mengekalkan pencapaian BN di Johor tetapi yakin dapat meningkatkannya pada pilihan raya umum akan datang. - Gambar fail
Barisan Nasional (BN) Johor kini menumpukan usaha mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lepas dan merampas kembali kerusi yang ditawan pembangkang pada PRU14 nanti.
Setiausaha BN Johor Datuk Md Jais Sarday berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan komitmen dan gerak kerja yang diberikan oleh anggota parti komponen demi menjamin kemenangan.
"Tagline kita adalah 'retain' (mengekalkan) dan 'regain' (mendapatkan kembali). Justeru, kita yakin dapat mengekalkan 21 kerusi Parlimen dan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi selain mendapatkan semula lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN yang dimiliki pembangkang," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen BN Johor di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata jentera gerak kerja BN akan turut berusaha meningkatkan majoriti pengundi di kesemua 26 kawasan Parlimen dan 56 kerusi DUN di seluruh negeri ini.
"Kalau kita dapat menggemblengkan lagi gerak kerja ini, kita bukan sahaja dapat mengekalkan pencapaian BN di Johor tetapi yakin dapat meningkatkannya pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Seramai 400 perwakilan hadir pada konvensyen sehari berkenaan yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Pengerusi BN negeri, antara lain untuk membentangkan pencapaian pembangunan negeri ini sejak 2013 hingga kini.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Johor #Konvensyen BN Johor #Md Jais Sarday #parti komponen #pilihan raya umum
;