BN Johor tekad kekalkan momentum kemenangan pada PRN akan datang - Onn Hafiz
Bernama
Jun 8, 2024 21:52 MYT
Jun 8, 2024 21:52 MYT
JOHOR BAHRU: Mengekalkan momentum kemenangan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicapai Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 pada pilihan raya akan datang merupakan antara lima resolusi yang dipersetujui sempena Konvensyen BN Negeri Johor di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata BN Johor turut bertekad untuk merampas kembali empat kerusi yang dimenangi pembangkang dalam PRN lepas selain memperkasa gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Landskap politik yang semakin mencabar menuntut BN Johor untuk memperkasa strategi gerak kerja, baik secara fizikal mahupun melalui media sosial. Penguasaan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI), adalah kunci untuk memenangi PRU16.
"Calon-calon yang dipilih haruslah mampu memberikan lima hingga 15 peratus tambahan undi untuk memastikan kemenangan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen BN Negeri Johor dan Sambutan Ulang tahun Jubli Emas BN yang dirasmikan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata tujuan memenangi kerusi adalah bagi memberi khidmat bakti seperti yang dimahukan rakyat selain yakin rakyat akan memberi kepercayaan kepada BN sekiranya wakil rakyat terus menyantuni dan berkhidmat untuk rakyat.
Onn Hafiz juga berkata resolusi lain yang digariskan BN Johor adalah memperkukuhkan solidariti parti-parti komponen serta 'friends of BN (FOBN)' dan mengeratkan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan.
Katanya pasca PRU15, pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disokong oleh BN, membawa manfaat besar kepada Johor.
"Hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sangat penting untuk mendapatkan peruntukan dan sokongan pembangunan.
"Pemerintah negeri berkomitmen untuk berlaku adil kepada semua pihak, termasuk dari pihak pengimbang seperti Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan MUDA (Ikatan Demokratik Malaysia), demi kesejahteraan Bangsa Johor tanpa melihat latar belakang politik," katanya.
Resolusi seterusnya adalah untuk mengangkat agenda pendidikan Bangsa Johor untuk menjadi keutamaan BN Johor sejajar dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, katanya.
Menteri Besar Johor itu berkata menerusi resolusi ini, kerajaan negeri perlu berusaha meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan tiada murid yang tercicir.
"Dukungan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga sangat diutamakan untuk memperluas peluang pekerjaan bagi graduan TVET dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
"Resolusi kelima dan terakhir ialah menyuburkan ekonomi Johor dan mencipta banyak peluang pekerjaan sejak 2022, menjadikannya satu daripada destinasi utama pelaburan di Malaysia. BN Johor berkomitmen untuk terus menarik lebih banyak pelabur asing dan memastikan pembangunan sosioekonomi yang adil di seluruh 56 kawasan DUN.
"Dukungan terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diharapkan mampu menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri dan membawa manfaat kepada seluruh kawasan di Johor.
"Dengan resolusi ini, BN Johor bertekad untuk menjadikan negeri ini sebagai kubu kuat BN dan memastikan kesejahteraan Bangsa Johor tercapai," katanya.
-- BERNAMA