BN harap dua cadangan dibawa dalam penggulungan Menteri Kewangan - Ahmad Maslan
Fareez Azman
November 23, 2020 19:46 MYT
November 23, 2020 19:46 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berharap dua perkara utama yang dicadangkan dapat diangkat Menteri Kewangan dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada Khamis ini.
Demikian jelas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas Mesyuarat Menteri BN bersama Presiden UMNO di Ibu Pejabat UMNO pada Isnin.
Ujarnya, BN menzahirkan sokongan bersyarat itu dalam Belanjawan 2021.
"Adakah sokongan Belanjawan 2021 oleh BN turut dibincang? Ya, itu dibincangkan dan mengenai Belanjawan 2021, tentunya kita masih lagi menyatakan kita menyokong Bajet.
"Sokongan kita juga memohon agar dua permohonan utama (moratorium dan pengeluaran RM10,000 KWSP secara one-off) akan diluluskan dan kita ada beberapa hari lagi untuk dipertimbangkan Menteri Kewangan," jelasnya lagi.
Pada 10 November lalu, Pengerusi BN yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk ,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Sidang Dewan Rakyat antara lain menyatakan sokongan bersyarat BN terhadap Belanjawan 2021.
Dua perkara utama telah dibawa iaitu memohon kerajaan meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara 'one-off' dan supaya moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Maslan turut menyatakan bahawa Mesyuarat Menteri BN bersama Pengerusi BN akan dijalankan setiap dua minggu selepas ini.
"Kita akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri BN dan Presiden BN ini dua minggu sekali, dan itu adalah keputusan dibuat tadi.
"Setiap dua minggu sekali, Presiden dan saya akan bertemu dengan Menteri BN untuk berbincang dasar kerajaan yang boleh memberikan input dari parti kepada menteri-menteri BN," katanya lagi.
#Presiden UMNO
#Pengerusi BN
#mesyuarat
#Menteri Barisan Nasional
#UMNO
#Barisan Nasional
#Dewan Rakyat
#KWSP
#Moratorium
#Ahmad Maslan
#Ahmad Zahid Hamidi
#Parlimen