BN guna sentimen tempatan, TPM akui PH berdepan cabaran

Rahimah Abdullah
Januari 13, 2019 12:44 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Konvensyen Malaysia Positif di Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah mengakui Pakatan Harapan berdepan cabaran besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands memandangkan parti lawan, Barisan Nasional (BN) menggunakan sentimen tempatan iaitu calon Orang Asli untuk menang kawasan parlimen itu.
Bagaimanapun katanya, parti itu sentiasa bersedia dengan cabaran berkenaan kerana sudah biasa melaluinya sebelum pilihan raya umum yang lalu lagi.
"Kita sentiasa berhadapan dengan kesulitan sebelum menjadi sebuah kerajaan. Namun, ada juga kesulitan sekarang kerana mereka menggunakan sentimen tempatan.
"Saya telah berjumpa dengan orang asli Semoi sebelum ini. Namun, sudah tentu kita harap apa yang telah kita tawarkan (calon) , mereka akan mengundi kita," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Malaysia Positif 2019 di Kompleks Perbadanan Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu katanya, PH tidak akan memandang rendah calon parti lawan dan berusaha keras memastikan kerusi itu milik parti.
"Saya boleh kata, (keyakinan tinggi menang) tidaklah terlalu tinggi begitu. Namun, apa yang boleh katakan kita mahu tukar kerajaan negerilah," ujarnya.
BACA: Pertandingan empat penjuru di PRK Cameron Highlands
PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran; calon Barisan Nasional BN, Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.
#Azizah #Barisan Nasional #Cameron Highlands #Malaysia #Orang Asli #Pakatan Harapan #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya kecil #pilihan raya umum #PRU #Putrajaya #Timbalan Perdana Menteri #TPM #Wan Azizah