BN dan Umno tiada hasrat sertai Perikatan Nasional - Annuar Musa
Madiha Abdullah
Ogos 16, 2020 12:33 MYT
Ogos 16, 2020 12:33 MYT
Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak berhasrat untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti politik.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, BN dan Umno bagaimanapun tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengalu-alukan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai sebahagian daripada Muafakat Nasional.
Susulan persetujuan lisan Muhyiddin untuk Bersatu menyertai Muafakat Nasional, langkah perincian akan diambil, antaranya dari aspek piagam dan perjanjian.
"Politik Malaysia sekarang cacamarba, buat pertama kali sejak Merdeka, rakyat tidak dapat kerajaan yang kuat sedangkan kerajaan ada tugas besar untuk memulihkan ekonomi pasca COVID-19.
"Kita akan cari jalan untuk memastikan gabungan ini akan workable. Sekarang bukan masa untuk tengok kepentingan parti, tetapi kena tengok dari sudut rakyat.
"Rakyat mahukan kestabilan, jadi kita kena buang ego. Umno dan PAS pun ada ego, sampai sekarang masih ada love-hate relationship tetapi kita letak itu di tepi demi kepentingan rakyat," kata Annuar.
Beliau ditemui pada majlis penyerahan lesen penjaja kepada peniaga gerai makanan di Kawasan Perindustrian Batu Muda, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Annuar turut memberitahu sesiapa pun dalam gabungan Muafakat Nasional boleh diangkat sebagai pengerusi gabungan.
"Kita sudah lama menggunakan pakai sistem politik ta'awun dan ta'ayush, iaitu bekerjasama dan menghormati prinsip co-existence.
"Jadi Bersatu, Umno dan PAS, kita co-exist. Sesiapa pun dari tiga parti ini boleh jadi pengerusi, tak perlu ada perebutan," tambahnya.
Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
#Barisan Nasional
#ekonomi
#Muhyiddin Yassin
#PAS
#Perdana Menteri
#politik
#PPBM
#Tan Sri Annuar Musa
#UMNO