BN cemerlang pertahan kerusi DUN Chini, hasil muafakat semua pihak - MB Pahang

Noraniza Kamsani
Julai 5, 2020 13:07 MYT
Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan bersama ini adalah hasil usaha satu pasukan yang telah bersama-sama sejak sebelum hari penamaan calon lagi. - Gambar fail/BERNAMA
Kejayaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini digambarkan cemerlang berikutan hasil muafakat semua pihak.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan bersama ini adalah hasil usaha satu pasukan yang telah bersama-sama sejak sebelum hari penamaan calon lagi.
"Semua pihak telah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kemenangan ini. Ini termasuk kepimpinan tertinggi yang dipimpin oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Malah di peringkat bahagian juga saya ingin berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berkempen dari pagi hingga malam untuk memastikan kemenangan BN," katanya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang memberitahu, kemenangan Mohd Sharim Md Zain pada PRK itu membuktikan bahawa UMNO masih diterima oleh rakyat dan mampu membawa suara ke peringkat yang lebih tinggi.
Katanya lagi, kejayaan ini juga kerana ramai pengundi luar yang pulang ke Chini untuk mengundi dan seterusnya memberi sokongan kepada calon BN.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) jika berlaku dalam masa terdekat.
"Walaupun ada beberapa perkara yang perlu dikaji dan diperhalusi namun kita sudah siap sedia walaupun bukan 100 peratus. Tetapi sekiranya PRU diadakan kita bersedia," katanya.
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini menepati ramalan apabila BN berjaya mempertahankan kerusi itu menerusi kemenangan besar calonnya.
Mohd Sharim menang selesa dengan majoriti 12,650 undi apabila memperoleh 13,872 undi manakala dua pencabarnya dari Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli hilang wang deposit.
#Barisan Nasional #Chini #Menteri Besar #Najib Razak #Pahang #pilihan raya kecil #pilihan raya umum #PRU #UMNO #Zahid Hamidi
;