BN bincang keputusan MCA, MIC tidak tanding PRN

Sinar Harian
Julai 6, 2023 10:59 MYT
BN akan membincangkan keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada pilihan raya enam negeri, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar fail BERNAMA
PUTRAJAYA : Barisan Nasional (BN) akan membincangkan keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada pilihan raya enam negeri.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dibincangkan di dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin depan.
"Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh kedua-dua parti tersebut namun kita akan bincang pada 10 Julai nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.
Pada Rabu, MCA dan MIC mengumumkan untuk tidak bertanding di dalam PRN meskipun Ahmad Zahid sebelum ini memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.
Jelas Ahmad Zahid, sekiranya MCA dan MIC tidak berganjak daripada keputusan tersebut, kerusi yang telah disediakan akan diberikan kepada UMNO.
"Sebenarnya kita sudah menetapkan bahawa MCA dan MIC ada kerusi, kalau mereka tidak mahu, kita akan ambil," katanya.
Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menepis tanggapan umum bahawa MCA dan MIC mempunyai masalah hubungan di dalam BN.
"Tiada masalah. Mereka akan tetap turun berkempen, cuma tidak bertanding," katanya. - Sinar Harian
#PRN #Zahid Hamidi #BN MIC tidak bertanding #pilihan raya negeri
;