BN berpeluang cerah kekalkan DUN Slim - Saifuddin

Hasimi Muhamad
Ogos 23, 2020 14:20 MYT
Saifuddin (kanan) bersama Mohd Zaidi (dua, kanan), Mohamed Azmin (kiri) dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika hadir pada satu program ceramah sempena PRK DUN Slim di bangunan UMNO Tanjung Malim hari ini. --fotoBERNAMA
Barisan Nasional (BN) berpeluang cerah untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 29 Ogos ini.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia diterjemahkan menerusi kerjasama jentera parti sepanjang tempoh berkempen yang sudah memasuki hari kesembilan hari ini.
"Calon BN, Mohd Zaidi Aziz mempunyai peluang yang sangat cerah. Dan saya dapat lihat kerjasama daripada semua parti begitu baik sekali.
"Mungkin pada bentuk yang rasmi, masih ada perkara-perkara yang hendak diselesaikan, tetapi saya lihat di akar umbi, mereka mesra dan bekerjasama dengan baik.
"Pada saya, semua itu melambangkan untuk jangka masa panjang, Perikatan Nasional (PN) dengan formula yang terbaik," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama antara jentera parti perlu dizahirkan dalam bentuk tindakan.
"Alhamdulillah, semangat itu semakin kuat dan semakin utuh di peringkat nasional dan peringkat negeri.
"Tetapi apabila berlaku PRK seperti ini, atau pun pilihan raya negeri (RPN) di Sabah, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemahkan semangat itu dalam bentuk tindakan.
"Jadi, saya kira hari ini (PRK DUN) Slim walaupun ia merupakan satu pilihan raya kecil, tetapi mesejnya adalah besar, di mana perpaduan itu penting dalam mengemudi negara dan juga negeri," katanya.
Terdahulu, Saifuddin dan Mohamed Azmin melakukan tinjauan di Pusat Media sempena PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, 43 tahun, dan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 tahun, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), dan S Santhasekaran, 44 tahun.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli DUN Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.
#Azmin Ali #Barisan Nasional #DUN Slim #kerjasama #Perikatan Nasional #pilihan raya kecil #PRK DUN Slim #PRK Slim #Saifuddin Abdullah #Slim Memilih
;