'BN beralih sokong PN cuma mitos'

Sinar Harian
Mei 10, 2023 09:18 MYT
Romli ketika hadir sebagai salah seorang ahli panel Wacana Sinar edisi ke-396 bertajuk 'Kamikaze Politik: Maruah Atau Penting Diri?' pada Selasa. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Spekulasi terdapat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) adalah hanya mitos dan khayalan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Romli Ishak berkata, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan sahabat lama.
Jelas beliau, mengenali BN terutama UMNO, parti tersebut tidak pernah menjadi pembangkang dan sangat setia dengan perintah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya melihat kalaulah kata di kalangan pemimpin UMNO nak keluar, dia nak masuk mana? Dia tahu tak kesan keluar?
“Ini pun satu permainan persepsi yang pembangkang mainkan di media sosial. Saya pun tidak tahu apa tujuan dan niat main persepsi ini di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi ke-396 bertajuk 'Kamikaze Politik: Maruah Atau Penting Diri?' pada Selasa.
Turut menjadi panelis adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'Aman selain Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa, UUM, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Ismail Adnan sebagai moderator.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa gerakan itu adalah untuk menjatuhkan Presiden UMNO.
Jelasnya, ini kerana Ahmad Zahid mendapat sokongan majoriti iaitu hampir setiap bahagian bagi mengekalkan jawatannya.
“Cuma ada di kalangan pimpinan BN, tidak dapat apa yang dia nak dan rasa tidak selesa. Sebelum ini dia menteri, dapat itu dapat ini, pegang jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya. Pendapatan ratusan ribu, sekarang tidak dapat.
“Saya rasa ahli politik ini harus belajar bagaimana susahnya rakyat di bawah bergelut,” ujarnya.
Tambah beliau, mainan persepsi yang dilakukan pembangkang itu hanya mendatangkan kesan buruk terutama kepada penjawat awam.
“Mereka tidak selesa untuk sokong Kerajaan Perpaduan. Ini akan mendatangkan kesan kepada rakyat dibawah. nak berurusan susah, program kerajaan tidak berjalan dengan baik,” katanya. - Sinar Harian
#Barisan Nasional #Perikatan Nasional #Romli Ishak #pembangkang
;