BN belum tentukan kerjasama dengan siapa hadapi PRN - Mohamad Hasan

Bernama
Januari 27, 2023 21:15 MYT
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN masih dalam peringkat menyusun dan melihat strategi yang terbaik bagi menghadapi pilihan raya itu nanti. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) belum membuat keputusan mengenai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN masih dalam peringkat menyusun dan melihat strategi yang terbaik bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.
"BN akan membuat persiapan jentera dulu, bagaimana cara untuk menghadapi pilihan raya nanti, siapa sekutu kita belum ditentukan.
Saya belum dapat menjangkakan strategi yang bagaimana perlu dibuat dengan siapa kita mahu berganding bahu... itu belum cerita lagi mengenai pembahagian kerusi, banyak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri di sini hari ini.
Mohamad yang merupakan Pengarah Pilihan Raya BN berkata beliau tidak menolak kemungkinan kerjasama yang ada di peringkat kerajaan pusat termasuk bersama Pakatan Harapan (PH) diteruskan untuk menghadapi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah itu.
"Kemungkinan besar ada, apa pilihan yang kita (BN) ada, dalam keadaan begini, tidak banyak piihan, pilihan yang ada terhad, (BN) mesti melihat pilihan mana yang terbaik," katanya.
Mohamad berkata BN juga telah membentuk jawatankuasa kecil bagi menjalankan post mortem susulan kekalahan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Katanya hasil post mortem itu termasuk jumlah undi yang diperoleh semasa PRU15 mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan dijadikan rujukan untuk menghadapi PRN.
"Pertama mahu lihat post mortem, isu dan masalah dan baru lihat cara dan strategi bagaimana menghadapi PRN ini. Kita tidak boleh menidakkan apa yang telah berlaku kerana PRU15 merupakan, PRU terburuk dalam sejarah BN," katanya..
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #kerjasama politik #Mohamad Hasan #PRN
;