BN amal kempen secara sederhana bagi menghormati pemergian Adenan
Bernama
Februari 7, 2017 07:16 MYT
Februari 7, 2017 07:16 MYT
Kempen Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Tanjong Datu kini berlangsung secara sederhana.
Menurut Ketua Pemuda BN Datuk Seri Fadillah Yusof, perkara itu dilakukan bagi menghormati sentimen masyarakat.
"Penduduk Tanjong Datu baru sahaja kehilangan wakil mereka, Tan Sri Adenan Satem dan mereka masih terasa kehilangan beliau.
"Sarawak juga kehilangan ketua menteri yang sangat popular iaitu Adenan. Apa pun, suasana berkabung masih begitu terasa, terutama di lapangan.
"Oleh itu, kami tidak akan berkempen secara besar-besaran," katanya kepada media di sini pada Selasa.
Fadillah bagaimanapun berkata BN mempunyai strategi tertentu untuk memastikan pemilih di Tanjong Datu keluar sepenuhnya untuk mengundi pada 12 Feb bagi pengundi awal dan 18 Feb untuk pengundi lain.
"Kami tidak mahu orang berasa selesa, walaupun kerusi ini dianggap amat selamat bagi kami.
"Amat penting bagi setiap pemilih untuk keluar dan memberi majoriti paling besar kepada calon BN Datuk Amar Jamilah Anu (balu Adenan).
"Tetapi, saya tidak bolehlah mengumumkan kepada media mengenai strategi kami. Kami juga akan mendekatkan diri, terutama dengan pengundi muda dan mereka yang bekerja di luar kawasan," katanya.
Tanjong Datu mempunyai 9,959 pemilih berdaftar. Pada pilihan raya negeri 2016, Adenan, yang merupakan penyandang kerusi itu, menang dengan majoriti 5,892 undi.
Calon tunggal daripada pembangkang, Jazolkipli Numan (PKR), hanya mampu meraih 468 undi.
Fadillah mengingatkan pemilih bahawa majoriti yang amat besar jumlahnya memberi erti mereka menyokong kuat kesinambungan dasar dan rancangan pembangunan yang diperjuangkan Adenan untuk Tanjong Datu, di samping sebagai tanda penerimaan penuh mereka terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan pengganti beliau, ketua menteri baharu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pembangkang hanya kaya dengan retorik dan akan cuba mengocak sentimen orang ramai supaya menentang kerajaan negeri.
Katanya, sama ada pilihan raya kecil diadakan atau tidak, Tanjong Datu akan tetap mendapat bahagiannya dari segi pembangunan dan kemajuan.
"Malah, pembinaan Jalan Teluk Melano-Sematan sepanjang 45 km berharga RM580 juta yang sedang dilaksanakan di kawasan itu dan merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan-Borneo Sarawak, merupakan bukti yang amat ketara mengenainya," kata beliau.
Beliau berkata lebih banyak projek bekalan air dan elektrik sedang giat dilaksanakan untuk penduduk kawasan itu.
"Kami sedang melakukannya secara beransur-ansur...fasa demi fasa, tetapi secara berterusan. Kami juga akan memberi perhatian terhadap isu tanah," katanya.
-- BERNAMA