BN akan terus perjuang isu hak milik tanah rakyat Kelantan Selatan - Ku Li

Bernama
Ogos 14, 2024 16:49 MYT
Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ketika sidang media pada Program bertemu Veteran UMNO di Jeram Tekoh, Gua Musang hari ini. - Foto Bernama
GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) akan terus memperjuangkan isu hak milik tanah rakyat Kelantan Selatan yang telah berlarutan puluhan tahun, kata Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
Veteran UMNO itu berkata beliau tidak mahu masalah berkenaan terus membelenggu rakyat yang bertungkus lumus meneroka tanah yang diduduki namun tidak dapat diwariskan sebagai harta pusaka untuk anak cucu kerana tidak memiliki geran yang sah.
"Ramai rakyat memikirkan mereka berkuasa ke atas tanah yang mereka terokai, tetapi sebenarnya tiada geran untuk mengesahkan mereka menjadi pemilik tanah berkenaan. Ini kita kena perbetulkan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, semalam.
Isu hak milik tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menjadi antara bahan kempen paling hangat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan PAS mendakwa Kesedar gagal menyelesaikan penyerahan tanah kepada peneroka.
Bagaimanapun Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Zawawi Othman berkata proses pindah milik itu memakan masa kerana perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang memberi geran besar tanah kepada Kesedar setelah premium dibayar, namun kemudian seolah-olah tidak mahu geran hak milik diserahkan kepada peneroka mengikut lot-lot kecil.
Malah Ku Li berkata sebagai usaha membantu penduduk setempat, UMNO selepas menang di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1978 berjaya memperoleh semula tanah berkeluasan 350,000 hektar di Kelantan Selatan yang sebelum ini dimiliki sebuah syarikat, dan menubuhkan Kesedar untuk menguruskannya.
"Kita runding siang dan malam sehingga dapat balik tanah ini... Bermula dengan itu, kita telah tubuh Kesedar dan kita bawa Felda ke Kelantan," katanya.
Ku Li yang juga Pengarah PRK BN bagi DUN Nenggiri berkata rancangan kemajuan tanah seperti Felda dan Kesedar telah memberi banyak faedah kepada pembangunan ekonomi peneroka di Kelantan Selatan termasuk Gua Musang.
"Selain dapat kutipan hasil daripada tanaman getah, kelapa sawit, anak-anak dapat ilmu apabila dihantar belajar sampai ke universiti. Banyak faedah yang dapat dan ramai yang sudah menjadi ahli profesional yang bertugas di luar Kelantan," katanya.
Ku Li berkata setelah memerintah Kelantan selama 34 tahun, PAS masih tidak berubah, dan beliau memberi amaran parti itu mungkin akan hilang kuasa jika rakyat membuat keputusan untuk mengubah kepimpinan negeri.
"Tuhan tak beri (masa) lama kepada semua perkara yang berlaku di dunia ini. Jadi saya tengok satu masa PAS pun akan turun juga seperti yang berlaku kepada pihak lain.
"Mungkin dia (PAS) fikir dia kekal berkuasa, tetapi masa akan datang kita tak tahu mungkin boleh tumbang. Ini terpulang kepada sikap rakyat itu sendiri," katanya.
PRK DUN Nenggiri Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional.
-- BERNAMA
#BN Kelantan #Tengku Razaleigh Hamzah #rakyat Kelantan Selatan #UMNO Gua Musang #PRK Nenggiri #Ku Li
;