BN akan kerjasama dengan Pas untuk berdepan PRU15 - Nazri

Diyana Ibrahim
Oktober 30, 2018 19:17 MYT
NAZRI: Saya sedang hubungi Setiausaha Agung Pas, mungkin esok lusa kita tengok macam mana. - Gambar fail/BERNAMA
Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Pas untuk membentuk satu blok pembangkang bagi berdepan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Setiausaha Agung BN yang baru saja dilantik itu berkata rundingan tersebut kini sedang dirangka.
“Saya sedang hubungi Setiausaha Agung Pas, mungkin esok lusa kita tengok macam mana,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan dijenamakan semula dan berharap Pas dapat menyertai serta mengukuhkan lagi gabungan bahaaru itu dalam usaha memenangi PRU15.
Ahmad Zahid turut menyerah tugas penjenamaan semula kepada Nazri.
BACA: Barisan Nasional dijenama semula - Ahmad Zahid
Pada masa sama beliau menafikan rundingan itu akan menyaksikan gabungan dalam satu perikatan parti pembangkang yang baharu.
Tegas Mohamed Nazri ia hanya merupakan kerjasama antara dua parti itu bagi pilihan raya akan datang.
“Kita tak kata nak bergabung... saya tak fikir Pas nak masuk BN pun, tapi kita nak bekerjasama waktu kita dalam pembangkang,” tambahnya.
#Barisan Nasional #blok pembangkang #BN #Nazri Aziz #PAS #pilihan raya umum #PRU15 #Zahid Hamidi
;