Bina asas pemulihan yang baik hari ini untuk kestabilan selepas PRU15 - Ahmad Masrizal
Israr Khalid
Disember 10, 2021 10:17 MYT
Disember 10, 2021 10:17 MYT
KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) kerajaan-pembangkang perlu terus dihormati malah dimanfaatkan sepenuhnya untuk membentuk asas pemulihan negara yang kukuh dan baik, kata Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.
Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu, ia amat penting dalam memastikan kestabilan negara dapat terus terjamin, biar siapa pun yang akan membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari memperlihatkan bahawa parti politik menghormati demokrasi, lantas kestabilan dikekalkan dan tumpuan dapat dihalakan untuk memulihkan negara, sepertimana yang diharapkan rakyat.
“Sebab itu saya melihat MoU yang kita ada ini sebagai ‘tempoh bernafas’ sebenarnya, untuk membolehkan kita fokus kepada rakyat. Pada akhirnya, semuanya tentang pemulihan negara.
“Kalau kita tak boleh buat penambahbaikan atau pembetulan kepada negara ini, siapa saja yang naik selepas PRU15 nanti akan bermasalah.
"Jadi, kita kena pastikan bahawasanya ia perlu dibina daripada sekarang,” kata Ahmad Masrizal.
Beliau pada masa sama setuju dengan kenyataan Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma yang turut hadir sebagai panel program Dialog Tiga Penjuru semalam, bahawa sesekali negara ini memerlukan krisis.
Ini kerana, katanya, tanpa krisis, negara akan terus berada di takuk lama, alpa dan tidak akan bergerak menuju perubahan yang lebih postitif.
Bagaimanapun, ia dengan syarat, krisis tersebut perlu diuruskan dengan baik.
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini: