Bila Zahid mahu tunaikan janji? - Lim Kit Siang
Astro Awani
Disember 5, 2014 18:55 MYT
Disember 5, 2014 18:55 MYT
Ketua Parlimen DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kenapa tiada sebarang siasatan dibuat terhadap Ketua Wanita Umno Baling Datuk Dr Mashitah Ibrahim, biarpun telah ada laporan polis dibuat.
Kit Siang berkata Zahid mengambil masa lama memberi arahan kepada pihak polis menyiasat kenyataan Dr Mashitah pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
"Berapa banyak 24 jam yang diperlukan Zahid sebelum polis dapat bertindak terhadap beberapa laporan polis yang dibuat terhadap Mashitah?
"48 jam, 96 jam, 240 jam atau 480 jam.
"Saya mahu bertemu dengan Zahid menjelang tamat tempoh 480 jam pada 18 Disember untuk mengetahui kenapa Menteri Dalam Negeri gagal menepati janjinya bahawa pihak polis akan memulakan siasatan dalam jangka masa 24 jam sesuatu laporan dibuat terhadap seseorang individu berkaitan isu sensitif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dalam tempoh seminggu selepas ucapan Dr Mashitah, tiga laporan polis telah dibuat oleh Ahli Parlimen DAP Teo Nie Chong dan Kasthuri Patto serta setiausaha politiknya, Dyana Sofya Mohd Daud namun hingga kini tiadasebarang tindakan diambil.
Katanya, apa yang memeranjatkan ialah sikap membisu dan tidak bertindak para pemimpin UMNO menunjukkan bahawa mereka bersedia bersekongkol dengan kesalahan Mashitah itu.
“Amat mengejutkan bahawa seorang bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh menjadi begitu tidak bertanggungjawab menyebarkan ucapan kebencian sedemikian demi membangkitkan rasa tidak senang antara kaum dan agama, rasa tegang dan konflik.
“Mashitah tetap tidak bersedia menarik balik penipuannya dan meminta maaf secara terbuka di atas ucapannya yang begitu tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Lim berkata selain Mashitah, perwakilan Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said turut mengeluarkan ucapan berbaur kebencian dengan niat membangkitkan ketakutan.
“Zaidi juga adalah seorang lagi yang secara serius menjejaskan keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini dengan ucapan kononnya kejayaan Pulau Pinang adalah disebabkan aktiviti haram dan jenayah secara terbuka yang dilakukan oleh orang Cina di negeri tersebut,” katanya.