Bila jangkaan PRU15? Ini bayangan PM...
Astro Awani
Ogos 13, 2021 19:12 MYT
Ogos 13, 2021 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat akujanji akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan.
Muhyiddin menjelaskan, beliau sedar adalah wajar untuk mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
"Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.
"Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan," katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Jumaat.
Muhyiddin juga berjanji akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.