'Biarlah PAS bertanding di Sungai Besar, Kuala Kangsar' - Mat Taib
Astro Awani
Mei 25, 2016 12:16 MYT
Mei 25, 2016 12:16 MYT
Bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menasihatkan pemimpin Pakatan Harapan untuk membiarkan PAS bertanding di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar Jun ini.
"Saya berpandangan impak negatifnya lebih besar sekiranya PAS dan juga parti-parti komponen PH turut meletakkan calon menentang Barisan Nasional.
"Jika itu berlaku, akhirnya, kita yang akan ditewaskan BN," kata Muhammad.
Beliau mengambil contoh berdasarkan pengalamannya sebelum ini ketika masih berada dalam BN dahulu dimana keadaan parti pembangkang yang berpecah belah hanya akan menguntungkan BN.
"Jika kita dapat mengekalkan semangat muafakat sesama pembangkang, sudah pasti kita dapat menang," kata Muhammad.
Tambah beliau, dengan meletakkan hanya satu calon di kedua-dua PRK, ia akan memberi isyarat kepada rakyat bahawa blok pembangkang adalah matang dan serius dalam usahanya untuk membawa perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
"Orang tidak suka, malah benci serta meluat melihat telatah parti pembangkang yang bergaduh sesama sendiri," kata Muhammad.
Semalam, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyatakan PAS akan mengumumkan calon-calon bagi kedua-dua PRK itu pada Jumaat ini.
PRK bagi kedua-dua bahagian ini akan diadakan serentak pada 18 Jun ini.