Biar Zahid bercuti sehingga tamat tempoh - UMNO Jerantut

Astro Awani
Mei 21, 2019 21:01 MYT
NAZRI: Pada pandangan saya, biarlah dia kekal, tetapi biar dia bercuti sampai 2022. - Gambar fail
Pemilihan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO telah dibuat oleh perwakilan parti.
Memandangkan beliau masih memegang jawatan itu, seelok-eloknya beliau dibiarkan menghabiskan tempoh menyandang jawatan tersebut sehingga 2021.
Demikian pandangan dikemukakan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah, mengulas saranan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, yang mahu Ahmad Zahid untuk terus bercuti atau melepaskan jawatan
Namun, kata Nazri, Ahmad Zahid perlu terus bercuti sehingga habis tempoh jawatan itu sementara tanggungjawab presiden terus dipikul timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang telah diberi tugas itu sejak Disember lalu.
"Pada pandangan saya, biarlah dia kekal, tetapi biar dia bercuti sampai 2022 (2021). Biar Mat Hasan memangku jawatan tersebut.
"Selepas 2022 (2021), perwakilan, ahli-ahli UMNO semua, akan buat keputusan yang baru," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya di sini hari ini.
BACA: Zahid wajar terus berehat demi untuk pulihkan UMNO - Penganalisis
Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri mengumumkan akan bercuti daripada jawatan Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada Mohamad.
Pada Isnin, Maulizan berkata, gerakan membawa balik Ahmad Zahid bagi mengambil semula tugas sebagai Presiden UMNO bukan sesuatu yang baik untuk parti.
Beliau mengingatkan bahawa, antara sebab berlaku desakan untuk Ahmad Zahid bercuti adalah ketiadaan halatuju jelas semasa beliau menjadi presiden sehingga berlaku kes lompat parti oleh sebahagian ahli Parlimen dan ketua-ketua bahagian.
BACA: Gesaan Ahmad Zahid terus bercuti hanya pandangan peribadi - Asyraf Wajdi
Malah, katanya, UMNO dijangka terus lemah jika Ahmad Zahid tidak berhenti atau bercuti pada ketika itu.
Mengulas kenyataan Maulizan itu, Nazri berkata, semua pihak berhak memberi pandangan masing-masing.
#berehat #lepas jawatan #letak jawatan #Maulizan Bujang #Mohamad Hasan #Nazri Ngah #Presiden UMNO #UMNO #Zahid Hamidi
;