Biar pucuk pimpinan UMNO selesai krisis politik di Kedah - Veteran politik

Rahimah Abdullah, Dania Zainuddin
Januari 22, 2016 19:45 MYT
"Sebagai pemimpin dan pengikut kita mesti cari jalan untuk menentukan kemelut dan kekecohan demi kesejahteraan parti yang diberi rakyat. - Gambar fail
Veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar meminta krisis politik di Kedah diserahkan kepada kepada kepimpinan Parti.
Beliau menjelaskan, ia bagi membolehkan satu formula terbaik dicari bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"Sebagai pemimpin dan pengikut kita mesti cari jalan untuk menentukan kemelut dan kekecohan demi kesejahteraan parti yang diberi rakyat.
"Ia perlu ditangani Perdana Menteri supaya apa pun penyelesaiannya ia mesti tenang dan tidak bergolak. Rakyat memerhati perkara ini," katanya kepada Astro AWANI selepas Majlis Pelancaran Aplikasi KTMB-Mobticket di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini hari ini.
Syed Hamid berkata, UMNO perlu mengambil langkah yang bijak dalam menyelesaikan kemelut di negeri itu kerana sebarang tindak tinduk parti menjadi perhatian rakyat.
"Pandangan dikeluarkan pelbagai individu tidak perlu parti beri respon. Kita tidak tahu dia serius atau tidak ke. Kalau respon, akan kecoh. Biar pimpinan ambil tindakan."
Beliau bagaimanapun percaya krisis itu akan dapat diatasi kerana ia disifatkan bukan perkara sulit untuk diatasi.
Pada Rabu, kepimpinan UMNO Negeri Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan merayu Perdana Menteri membuat perubahan segera.
Mukhriz kemudian memberi amaran untuk bertindak terhadap pihak yang cuba menganiayainya dan rakyat Kedah.
Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, krisis UMNO di Kedah perlu diselesaikan segera untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Ujarnya apa juga rancangan yang akan dibuat perlu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan.
Menurut Ismail Sabri, Najib kemudiannya akan bertanggunjawab menasihati Sultan mengenai pelantikan jawatan Menteri Besar.
"Saya harap kes ini diselesaikan segera, kalau dibiarkan berlarutan akan menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat. Saya rasa tentu Perdana Menteri akan dapatkan penjelasan dari UMNO Kedah.
"Kita tinggalkan kepada UMNO Kedah, kerana untuk melantik Menteri Besar dan dan siapa Menteri Besar, orang Kedah tahu siapa yang layak siapa yang boleh" katanya selepas menghadiri Program Turun Padang Kementerian Kemajuan Luar Bandar di Tabika Kemas Kampung Batu 16 Rawang, hari ini.
#Ahmad Bashah Md Hanipah #Ismail Sabri #krisis #politik #Syed Hamid Albar #UMNO
;