Beza pendapat tapi rasa hormat tidak akan hilang - Syed Saddiq

Faida Rahim
Jun 2, 2024 19:40 MYT
Syed Saddiq (kanan) berkata buku Jalan Tegak merupakan naskhah penceritaan mengenai cabaran sepanjang karier politiknya dari pentas debat ke kerusi Parlimen. -Facebook Syed Saddiq
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui wujud banyak perbezaan pendapat antara dirinya dan individu yang banyak memberi tunjuk ajar dalam arena politik.
"Pengalaman saya dalam politik banyak bermula dengan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin didokumentasikan secara terbuka.
"Banyak juga yang saya berbeza pendapat, tetapi hormat itu saya tidak akan hilang," katanya ketika sidang media pada majlis pelancaran buku Jalan Tegak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Bercakap mengenai pelancaran buku Jalan Tegak, kata Syed Saddiq ia merupakan naskhah penceritaan mengenai cabaran sepanjang karier politiknya dari pentas debat ke kerusi Parlimen.
"Dalam politik memang akan ada risiko dan cabarannya. Tambah pula apabila kita berbeza pendapat.
"Tetapi saya dididik dari awal kalau tidak setuju dengan sesuatu, lebih baik kita katakan secara terbuka daripada kita tikam dari belakang," kata Syed Saddiq.
Tambah beliau, karya berkenaan hanya menceritakan suasana politik negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Majlis pelancaran buku berkenaan turut dihadiri Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf (GBK), Izzat Izhar Muhammad Nasir; dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #pelancaran buku #Jalan Tegak #Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
;