Berusaha tunaikan segala janji dalam manifesto - Kit Siang
Bernama
November 24, 2019 07:57 MYT
November 24, 2019 07:57 MYT
Penasihat DAP Lim Kit Siang pada Ahad mengingatkan Pakatan Harapan (PH) agar bekerja keras dan berusaha menunaikan segala janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau berkata ini perlu bagi memastikan PH tidak menjadi kerajaan sepenggal lebih-lebih lagi selepas keputusan mengejutkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, baru-baru ini.
"Jika PRK Tanjong Piai adalah petanda kepada PRU ke-15 pada 2023, maka kerajaan PH akan menjadi kerajaan sepenggal dan akan disingkirkan daripada Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen ke-20 DAP negeri Perak di sini, pada Ahad.
Beliau turut menegaskan DAP tidak akan menjadi MCA 2 dan PH tidak sesekali menjadi Barisan Nasional (BN) 2 atas alasan sangat mudah, iaitu PH sangat komited terhadap agenda untuk membangunkan semula negara ke arah Malaysia Baharu yang ditentang oleh MCA, UMNO dan BN serta Muafakat Nasional.
"Sepanjang 18 bulan PH (memerintah) Malaysia telah membuat permulaan yang baik untuk membentuk Malaysia Baharu termasuklah pelantikan beberapa jawatan penting seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Gabenor Bank Negara," katanya.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#DAP
#jawatan penting
#keputusan mengejutkan
#kerajaan sepenggal
#Lim Kit Siang
#Malaysia Baharu
#MCA
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Parlimen Tanjung Piai
#pilihan raya kecil
#PRK Tanjung Piai
#Tanjung Piai
#Tanjung Piai Memilih