Berundurlah Shahrizat, usah dikejar jawatan Naib Presiden - Syed Ali Alhabshee

Astro Awani
November 28, 2014 19:36 MYT
SYED ALI: Berundurlah Shahrizat, jangan kejar jawatan Naib Presiden UMNO - Gambar fail
Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dinasihat melupakan jawatan Naib Presiden UMNO dan kembali bermuhasabah diri.
Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, Shahrizat juga diharap tidak terlalu mengejar jawatan dan berundur segera daripada jawatan yang dipegangnya kini dengan cara terhormat.
"Shahrizat harus muhasabah diri, janganlah terlalu dilihat kejar jawatan. Macam tidak wajar apabila dia menuntut kerusi Naib Presiden UMNO untuk Wanita.
"Macam dia sendiri, ada liabiliti...jadi jalan terbaik adalah berundur, habis cerita," katanya ketika ditemui semasa Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras mengulas permintaan Shahrizat semasa ucapan dasar Ketua Pergerakan Perhimpunan Agung Wanita 2014 yang mahu satu kerusi naib presiden dan satu kerusi naib ketua bahagian diperuntukkan untuk Wanita.
Kata Shahrizat, hasil mesyuarat perwakilan Wanita bahagian tahun ini, 171 bahagian dan 12,483 cawangan menyokong usul berkenaan.
Wanita UMNO dianggotai 1.3 juta orang, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan 3.47 juta anggota parti.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, parti akan mempertimbangkan permintaan pergerakan Wanita supaya dua kerusi tambahan diwujudkan dalam jawatan Naib Presiden dan Naib Ketua Bahagian untuk anggota sayap itu.
Ujar Najib, beliau akan berunding dengan semua pihak mengenai perkara tersebut dan berhasrat untuk mencari jalan terbaik untuk memperkasakan agenda parti.
Tegas Syed Ali, penampilan Shahrizat juga dilihat akan lebih 'bersih' jika tidak lagi menuntut jawatan berkenaan diberikan kepada pergerakan Wanita.
"Cukup-cukuplah Shahrizat membuat cadangan yang memberi bayangan untuk dia sendiri nikmati. Ini bukan sekali dua atau sehari dua saya memberi 'amaran' sebegini, sudah bertahun-tahun pun.
"Apa yang dia nampak untuk kepentingan dirinya saya sendiri tidak tahu, namun Wanita akan lebih maju dan 'makmur' jika dia sendiri tidak ada di dalam pergerakan perkenaan," jelasnya.
#Cheras #kerusi #najib #presiden #PWTC #shahrizat #UMNO #wanita
;